KUALA LUMPUR – Pernah digelar dan sering mendapat jolokan sebagai ‘kuku besi’ dalam karier nyanyiannya, penyanyi terkenal Anuar Zain langsung tidak ambil hati malah mengakui perkara tersebut.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain berkata, dia langsung tidak kisah dengan gelaran tersebut (kuku besi) kerana dirinya memang bersifat demikian dalam memastikan apa sahaja yang diberikan benar-benar berkualiti.
“Ya, saya akui memang saya jenis kuku besi dalam setiap inci apa pun yang saya lakukan. Tak kisahlah melibatkan lagu, susunan muzik, pengarah muzik, persembahan, kolaborasi, dan apa sahaja berkaitan kerjaya seni.
“Siapa yang kenal dan pernah bekerja dengan saya pasti tahu bagaimana cerewet serta selektifnya saya dalam memastikan sesebuah karya atau persembahan itu betul-betul sempurna,” katanya.
Anuar ditemui pada sidang media Makan Malam Amal Anuar Zain – Karena Aku Cinta di Hotel Pullman di sini petang tadi.
Mengulas mengenai mini showcase berkenaan, pelantun lagu hit Sedetik Lebih itu meluahkan keterujaan kerana sudah hampir dua tahun tidak membuat sebarang persembahan pentas dan bertemu peminat secara bersemuka.
“Kenapa saya terima tawaran ini pertamanya saya begitu rindu nak buat persembahan dan menyanyi.
“Sudah dua tahun saya ‘tidur’ dan langsung tidak bertemu dengan peminat seperti dulu.
“Jadi dengan adanya mini showcase ini, saya mahu kita semua berhibur sambil beramal membantu menyalurkan dana kepada mereka yang terkesan akibat pandemik,” katanya yang bakal memulakan sesi latihan vokal tidak lama lagi.
Tambah Anuar, 52, persembahan selama hampir sejam dengan dimuatkan lapan buah lagu itu akan diiringi petikan piano oleh Lee Sze Wan yang juga bertindak selaku pengarah muzik.
Makan Malam Amal Anuar Zain – Karena Aku Cinta bakal berlangsung pada 5 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (ICCC), Perak.
Acara tersebut diadakan bertujuan menyalurkan dana kepada anggota barisan hadapan atau frontliners yang terkorban ketika menjalankan tugas selain menghargai penggiat seni tempatan yang terkesan akibat pandemik maut Covid-19.
Tiket dijual pada berharga RM230, RM280 dan RM380. Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh hubungi atau WhatsApp di talian 011-36088001 atau boleh dapatkan tiket di kaunter tiket Bond Suites Sales Gallery @ IICC. – K! ONLINE