LONDON – West Ham United dilaporkan mahu terus mencuba mendapatkan khidmat penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin biarpun kelab itu meletakkan tanda harga bernilai £60 juta (RM340.49 juta).
Kempen musim ini agak terbantut buat Calvert-Lewin apabila dihimpit masalah kecederaan dan hanya mampu membuat enam penampilan di Liga Perdana Inggeris setakat ini.
Bagaimanapun, musim lalu menyaksikan dia berjaya meledak enam gol dalam saingan liga ketika di bawah kendalian Carlo Ancelotti sekali gus membolehkannya dipilih berada dalam skuad England ke saingan Euro 2020.
West Ham dikatakan masih percaya pemain berkenaan mampu kembali berada di puncak prestasi biarpun baharu pulih daripada masalah kecederaan sekali gus mampu menambah sengat untuk jentera serangan mereka.
Pemilik The Hammers bersedia untuk memberikan sokongan kewangan buat David Moyes untuk mendapatkan penyerang berusia 24 tahun berkenaan tetapi mahu proses rundingan dilakukan terlebih dahulu untuk mengurangkan yuran perpindahan berkenaan yang diminta Everton.
Sekiranya Everton bersedia untuk mengurangkan harga berkenaan, West Ham dikatakan akan cuba untuk mengemukakan tawaran pada saat terakhir jendela perpindahan bulan ini.
West Ham terdesak untuk mencari penyerang baharu apabila mereka ketika ini hanya bergantung harap kepada Michail Antonio sebagai penggempur utama dan sekiranya berlaku masalah kecederaan, mereka akan berdepan masalah besar.
– AGENSI