KEMAMAN – Seramai 32 penduduk di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi, Chukai disini tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh buah rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Mohd. Hasbullah Halipah berkata, kebakaran yang berlaku pada pukul 7.40 pagi tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Sepasukan 34 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Kijal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran itu pada pukul 7.45 pagi.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, tiga rumah rumah sedang marak terbakar sebelum merebak ke empat rumah lain tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Hasbullah berkata, keadaan rumah separa kayu dan batu yang terletak berhampiran menyebabkan api merebak dengan cepat.
Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan. – K! ONLINE