KUALA LUMPUR – Pengguna di Lembah Klang kini dilihat beralih kepada telur gred C dan D berbanding gred A dan B berikutan harga yang lebih murah selain mudah didapati.
Telur gred C dan D rata-ratanya dijual pada harga antara 38 sen hingga 39 sen sebiji berbanding 41 sen hingga 43 sen sebiji bagi gred A dan B.
Situasi itu turut menyebabkan berlaku lambakan bekalan telur gred A dan B di pasaran sehingga menyebabkan bahan asas berkenaan busuk tidak terjual.
Bagi peniaga telur dikenali Ahmad, keadaan itu berlaku selepas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tahun lalu yang seterusnya menyebabkan margin keuntungan menjadi rendah.
Katanya, peniaga hanya meraih untung sebanyak 30 sen bagi satu papan telur gred A dan B berbanding 90 sen sebelum pelaksanaan SHMKM.
“Berikutan itu banyak telur jadi busuk kerana tiada pembeli dan seterusnya menanggung kerugian. Sudah 40 tahun saya berniaga, ini la tempoh paling sukar sepanjang saya berniaga,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Luahan yang sama disuarakan seorang peniaga dikenali Siti yang memberitahu, keuntungan kecil menyebabkan pembekal dan pemborong turut mengehadkan bekalan telur gred A dan B kerana tidak mahu menanggung kerugian.
“Pelanggan tiada, sampai telur busuk. Pengguna hanya ingin membeli telur jenis gred C dan D sebab mereka dapat berjimat,” ujarnya.
Situasi sama turut disuarakan seorang pekerja sebuah pasar raya yang memberitahu, kebanyakan pelanggan menjadikan telur jenis gred C dan D sebagai pilihan sehingga pihaknya mengalami kerugian.
Sementara itu, seorang suri rumah dikenali Intan Liyana memberitahu, kualiti gred C dan D tidak jauh berbeza dengan telur gred A dan B yang dijual lebih mahal.
“Bagi saya telur gred C dan D tetap berkualiti asalkan kulitnya nampak rata dan bersih serta segar sudah cukup. Tidak perlu mengeluarkan belanja lebih untuk beli telur gred A dan B.
“Ini kerana, keperluan bahan basah bukan hanya untuk telur sahaja, memandangkan hampir semua kos barangan lain sudah naik sekarang,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pegawai perhubungan awam, Maria Hayati Ahmad, 28, berkata, tidak berbaloi untuk dirinya membeli telur jenis gred yang tinggi pada harga yang mahal memandangkan semua jenis bahan asas itu sama dari segi tahap kesihatan.
“Mustahil hari-hari saya nak makan telur. Jadi tidak ada sebab saya nak beli gred mahal.
“Beli telur gred C dan D sama sahaja dengan jenis gred A dan B. Kalau ada beza pun mungkin dari segi proses penghasilan gred A dan B lagi bersih,” jelasnya.