fbpx

‘Rakyat jangan alpa kalau nak balik beraya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakyat berpeluang untuk balik beraya pada tahun ini selepas dua tahun terkurung akibat Covid-19.

PETALING JAYA – Rakyat diingatkan agar tidak terlalu leka dengan keadaan semasa sekalipun kerajaan telah memberi jaminan bahawa tiada sekatan perjalanan dan orang ramai boleh pulang kampung untuk menyambut Hari Raya pada tahun ini.

Berdasarkan tinjauan Kosmo!, rata-rata penduduk terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang mahu orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi merealisasikan impian untuk pulang ke kampung pada hari raya nanti.

Seorang suri rumah, Lizawani Awang, 36, berkata, jaminan yang dibuat Perdana Menteri bahawa orang ramai boleh pulang ke kampung untuk berhari raya adalah satu berita yang menggembirakan selepas dua tahun tidak dapat berkumpul bersama keluarga pada hari bahagia tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebarang kealpaan dalam mematuhi SOP mungkin boleh menyebabkan kes jangkitan kembali me­ningkat, sekali gus merisikokan sebarang peluang untuk pulang ke kampung.

“Jika dilihat bilangan kes sekarang ini, tiba-tiba berlaku peningkatan dan situasi itu bukanlah sesuatu yang baharu.

“Sebelum ini, bukan sahaja tidak dapat balik kampung, malah nak jumpa saudara-mara terdekat pun tidak dapat dan tidak boleh berkumpul,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagi pekerja syarikat swasta, Jasmin Abdullah, 35, berkata, walaupun kerajaan telah memberi jaminan bahawa tiada sekatan untuk pulang ke kampung, namun banyak bergantung kepada kepatuhan kita sebagai rakyat.

“Walaupun tiada PKP, namun kerajaan akan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat di kawasan-kawasan yang berisiko.

“Kalau boleh, kita tidak mahu ada kawasan yang dikenakan PKPD sehingga boleh menjejaskan peluang orang ramai untuk pulang ke kampung.

“Apa yang penting, kita sama-sama menjaga SOP dan bantu kerajaan dalam mengawal penularan pandemik Covid-19,” jelasnya.

Dalam pada itu, kakitangan kerajaan, Mohd. Syahmi Adam, 33, melahirkan rasa syukur kerana impiannya untuk pulang berhari raya di kampung halaman di Sabah bakal menjadi kenyataan pada tahun ini.

“Terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dalam menjaga kebajikan rakyat. Inilah berita yang ditunggu-tunggu oleh seluruh golongan perantau,” tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan PKP pada masa akan datang dan orang ramai boleh pulang ke kampung untuk menyambut hari raya pada tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI