fbpx

PRN Johor: UMNO waspada cabaran parti baharu Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Maslan (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Setiausaha UMNO Bahagian Negeri Johor bersama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia di Pejabat UMNO Johor, Johor Bahru hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk membuat penampilan sulung dalam kancah politik pada Pilihan Raya (PRN) Johor nanti mendapat perhatian parti terbesar negara, UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kehadiran Muda di PRN ke-15 itu dilihat sebagai cabaran tambahan parti dalam usaha menawan kembali negeri Johor setelah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu turut mengalu-alukan kedatangan Muda pada PRN Johor setelah parti baharu itu sudah diluluskan pendaftarannya.

“Ini negara demokrasi, apabila tiba Pilihan Raya, pasti banyak parti yang nak bertanding. Jadi, tidak ada siapa dapat menghalang mereka daripada berbuat demikian.

“Kita sebagai parti terbesar di Malaysia melihat ini sebagai satu kedinamikan politik yang perlu dihadapi dengan politik matang. Teruskan, kami tidak ada halangan kerana mereka sudah diluluskan.

“Selepas PRU-14, UMNO sudah terbuka dengan kedinamikan politik yang pelbagai. Kita anggap Muda sebagai satu cabaran tambahan kepada strategi kita untuk menghadapi PRN,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat bersama setiausaha bahagian di Bangunan UMNO, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO mempunyai strategi tersendiri dalam usaha menarik kira-kira 750,000 pengundi muda dan baharu pada PRN Johor

Beliau berkata, antaranya menerusi program yang dilakukan sayap parti pemuda dan puteri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahnya, UMNO juga akan menggunakan media sosial untuk mendekati golongan muda seperti yang dilakukan semasa PRN Melaka susulan kekangan tidak dapat berkempen mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“UMNO juga akan menampilkan calon muda yang akan bergandingan dengan calon berpengalaman dan wanita bagi menarik sokongan golongan berkenaan.

“Kita juga harapkan golongan ibu bapa yang merupakan ahli UMNO akan mempengaruhi anak-anak mereka untuk mengundi UMNO,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI