fbpx

Mudahkan prosedur bantu golongan OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF, WARTAWAN EKSEKUTIF

TIDAK semua individu dilahirkan sempurna. Ada yang diuji kekurangan fizikal, mental, intelektual atau deria yang membataskan kehidupan seharian mereka.

Namun, kekurangan itu tidak pernah melemahkan semangat mereka untuk berdikari seperti orang normal yang lain.

Golongan orang kelainan upaya (OKU) sememangnya kuat dan tidak harus dipandang hina kerana mereka mempunyai keunikan tersendiri.

Lihat sahaja pencapaian mereka dalam apa jua bidang yang diceburi, malah lebih baik daripada individu normal.

Atlet Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zokefli berjaya mengharumkan Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pelakon, Asif Suhaimi dan Yoe Parey yang menghidap autisme pula mencipta nama tersendiri dalam bidang lakonan.

Dianggarkan seramai 4.8 juta atau 15 peratus penduduk di Malaysia merupakan populasi OKU.

Difahamkan, hanya 584,947 daripada 4.8 juta OKU di negara ini yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Oktober tahun lalu yang menyebabkan mereka terlepas untuk menikmati pelbagai keistimewaan yang diberikan kerajaan.

Antara keistimewaan itu adalah elaun pekerja cacat sebanyak RM350 sebulan, bantuan penja­gaan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar (RM300 sebulan) dan OKU tidak bekerja (RM200 sebulan) selain pelbagai diskaun pengangkutan.

Perkara ini harus diberi perhatian kerana jumlah mereka yang belum berdaftar terlalu rendah berbanding jumlah sebenar golongan terbabit. Pastinya terdapat sesuatu faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Ia harus disiasat dan diselesaikan segera oleh pihak tertentu bagi memastikan tiada ‘sekelumit’ daripada golongan terbabit terpinggir untuk menerima bantuan yang disediakan.

Terdapat sebahagian golo­ngan tersebut yang amat memerlukan bantuan, namun mungkin terdapat sedikit kesukaran yang membataskan mereka untuk memohon.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 Disember tahun lalu berkata, kerajaan akan terus membela dan menghargai segenap lapisan masyarakat tanpa meminggirkan sesiapa terutama OKU selari dengan semangat Keluarga Malaysia.

Beliau memberitahu, dengan nilai kebersamaan, kerajaan akan memastikan golongan OKU diberikan hak sama rata dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kekurangan itu bukan satu kelemahan, bahkan ia satu keistimewaan yang perlu dilindungi bagi melengkapi kita semua.

Sementara itu, bekas atlet para­limpik negara, Suhaidi Ismail berkata, dia berharap prosedur permohonan bantuan bagi golo­ngan itu dipermudahkan untuk kepentingan bersama.

“Saya harap pihak yang dipertanggungjawabkan dalam hal kebajikan berkaitan OKU ini dapat mengkaji semula prosedur permohonan bantuan.

“Ini kerana setiap golongan OKU berbeza dan bukan semua­nya dapat pergi berurusan di kaunter pejabat.

“Mungkin ada cara yang lebih mudah untuk membantu golo­ngan seperti kami kerana kami amat memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Setiap individu OKU seharus­nya dijaga, dibela dan di­lindungi bagi membantu mereka menggilap keistimewaan yang sedia ada pada golongan tersebut. Jika bukan kita, siapa lagi yang mahu membantu mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI