SEPANG – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah memberi bayangan awal kemungkinan besar Malaysia bersedia memindahkan bangunan kedutaan besarnya di Jakarta ke Nusantara.
Meskipun begitu ujarnya, perkara berkenaan belum lagi dibincangkan secara terperinci di peringkat Wisma Putra kerana ada tempoh masa yang cukup lama diberikan oleh Indonesia.
“Secara kebiasaan, kita (Kementerian Luar) harus mengikut peredaran masa dan setempat, maka kalau mereka (Indonesia) sudah pindah ibu negara, kita pun harus ikut pindah,” katanya ketika mengulas laporan media semalam yang menyatakan canseri Malaysia di Jakarta perlu berpindah ke Nusantara paling lewat 2034.
Ia susulan nota rasmi Kementerian Luar Indonesia minggu lalu meminta semua 105 kedutaan asing di Jakarta berpindah selepas pusat pentadbiran baharu Indonesia itu dibuka pada 2024.
Terdahulu, beliau secara simbolik menerima vaksin Covid-19 sumbangan oleh kerajaan Emiriah Arab Bersatu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Saifuddin memberi gambaran awal bahawa proses pemindahan canseri Malaysia mungkin perlu mengambil masa sebelum keputusan akhir dapat dimuktamadkan.
“Setakat hari ini, kita (Wisma Putra) belum buat perbincangan secara agak mendalam, namun tunggu masa sesuai nanti akan diumumkan,” jelasnya tanpa menyatakan lebih spesifik.
Ia kemungkinan merujuk proses penilaian hartanah di zon diplomatik baharu di Nusantara sebelum penyaluran peruntukan untuk pembinaan bangunan kedutaan di ibu kota tersebut.
Lokasi baharu yang akan diwartakan sebagai Daerah Khusus Ibu kota dalam Wilayah Kalimantan Timur itu berkeluasan 2,560 kilometer persegi dan terletak 1,930 kilometer dari Jakarta. – K! ONLINE