PUTRAJAYA – Malaysia menyatakan pendirian agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan dalam usaha mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sesi persidangan video bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, hari ini.
Kementerian Luar menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia pada masa sama menyokong perlantikan Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas yang baharu.
Menurutnya, Malaysia juga kekal komited dan menyokong usaha ASEAN ke arah menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
“Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Kemboja setelah mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2022 dan berterima kasih kepada Hun Sen kerana berkongsi maklumat terkini di Myanmar.
“Perdana Menteri turut menekankan supaya adanya keperluan meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.
“Selain itu, dialog politik di antara semua pihak yang berkaitan perlu diadakan demi kepentingan rakyat Myanmar selain menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint,” katanya hari ini.
Katanya, Malaysia juga menyatakan pendirian untuk meneruskan bantuan kemanusiaan melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre) dengan sokongan negara-negara Anggota ASEAN dan rakan-rakan luar ASEAN.
Berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN, pendirian Malaysia kekal tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).
Malah, Perdana Menteri juga menyuarakan pandangan bahawa cadangan langkah-langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dan Pegawai-pegawai Kanan ASEAN. – K! ONLINE