LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp masih belum percaya bahawa pasukannya kembali bersaing dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas merakam kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace kelmarin.
Ketika pendahulu, Manchester City sekadar terikat 1-1 menentang Southampton Sabtu lalu, kemenangan itu menyaksikan The Reds berjaya mengurangkan jurang kepada sembilan mata, namun Klopp percaya ia bukanlah sebab yang kukuh untuk mereka meraikannya.
“Saya tidak fikir begitu (kembali dalam perebutan kejuaraan). Jarak antara kami dan City masih terlalu jauh untuk bercakap mengenainya dan kami juga tidak mahu bercakap mengenai perkara ini.
“Apa yang kami inginkan adalah memenangi setiap perlawanan yang kami hadapi. Semua perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris sentiasa memberikan kesukaran, seperti juga perlawanan kali ini,” katanya.
Pada aksi berkenaan, Liverpool berjaya mendominasi 35 minit pertama perlawanan dan mendapatkan dua gol menerusi Virgil Van Dijk yang membuka tirai jaringan pada minit kelapan dan Alex Oxlade-Chamberlain (m-32).
Selepas 10 minit babak kedua bermula, Palace cuba merapatkan jurang menerusi Odsonne Edouard sebelum Liverpool diberikan sepakan penalti yang disudahkan oleh Fabinho. – AGENSI