SEPANG – Mahkamah Sesyen Sepang mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lelaki berusia 30-an susulan gagal menghadirkan diri ke mahkamah di sini bagi kes yang dihadapinya.
Waran tangkap tersebut dikeluarkan terhadap Muhammad Hakim Habibullah yang berdepan 12 pertuduhan di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hakim Noorhisham Mohd. Jaafar dan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil mengeluarkan waran tangkap itu selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Mohd. Zameri di dua mahkamah berbeza di sini dengan tarikh sebutan pendengaran waran tangkap ditetapkan pada 24 Februari.
Dalam pada itu, Nazrul Nizam ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya dimaklumkan lelaki itu yang juga orang kena saman (OKS) berada di Alor Setar, Kedah sekali gus gagal hadir bagi pertuduhan yang dihadapinya di kedua-dua mahkamah tersebut.
“Kes yang dihadapinya melibatkan penghantaran gambar lucah melalui rangkaian aplikasi Facebook dan WhatsApp kepada seorang wanita.
“Mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan,” katanya. -K! ONLINE