fbpx

JKMPay tidak libatkan semua penerima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Zailah (kiri) menerima memorandum yang diserahkan oleh gabungan persatuan OKU di pekarangan bangunan KPWKM, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan bahawa pelaksanaan Sistem Bantuan Tanpa Tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMPay) adalah projek rintis dan tidak akan melibatkan semua penerima.

Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, program berkenaan juga adalah berbentuk pilihan dan tiada sebarang paksaan dalam pelaksanaannya.

“Pelaksanaan program ini bukanlah secara paksaan malah kita turut adakan temuduga terlebih dahulu jadi dakwaan ia melibatkan semua penerima adalah satu salah faham semata-mata.

“Kajian berhubung program ini telah dibuat terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya dan ia adalah sebagai projek rintis yang tidak melibatkan semua penerima termasuk OKU, hanya kepada penerima baharu sahaja bukan penerima sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan bangunan KPWKM selepas menerima memorandum Bantah JKMPay oleh gabungan persatuan OKU di sini hari ini.

Sebelum itu kira- kira 50 individu OKU dari seluruh negara yang mewakili beberapa persatuan berkumpul di pekarangan bangunan KPWKM untuk menyerahkan memorandum kepada menterinya Datuk Seri Rina Harun.

Jelas beliau, pihak kementerian akan merujuk kepada memorandum tersebut untuk melihat isu yang berbangkit dan mencari penyelesaian kepada permasalahan tersebut.

“Kita akan berbincang bagaimana untuk melihat isu ini, kita sayang OKU dan kumpulan sasar kita malah kita mahu berita baik untuk mereka jadi pihak kementerian akan beri perhatian sebaik mungkin,” ujar beliau.

Sementara itu, Jurucakap persatuan OKU, Francis Siva berkata, kehadiran mereka hari ini adalah bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap pelaksanaan program tersebut yang disifatkan sebagai menindas golongan OKU.

“Mereka implimentasikan program ini tanpa pengetahuan kami dan kami kini sangat kecewa dengan kementerian dan menteri. Mereka patut tahu apa yang berlaku dalam komuniti kami, OKU hidup susah semua orang tahu itu.

“Pemotongan bantuan sebanyak 50 peratus yang dimasukkan ke dalam kad JKMPay itu tidak lagi boleh digunakan untuk membayar sewa rumah, bil telefon, ubatan khas dan sebagainya mengikut kehendak penerima,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI