fbpx

Impian miliki rumah sendiri musnah, ditipu kontraktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak mangsa meminta agar orang ramai membantu menjejaki lelaki tersebut.

PETALING JAYA – Penantian sebuah keluarga menunggu rumah idaman siap dibina akhirnya sia-sia apabila ditipu oleh kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan telah melarikan diri serta membiarkan proses pembinaan rumah tergendala.

Menurut perkongsian anak mangsa, Nanad atau @naddiiiee di laman Twitter berkongsi mengenai kejadian menimpa bapanya yang ditipu oleh seorang kontraktor yang dikenali sebagai Achmad Baihaki, 40, berasal dari Indonesia.

Lebih menyakitkan apabila kontraktor tersebut juga telah melarikan wang bayaran lebih dari RM100,000, sedangkan rumah masih belum siap sepenuhnya.

“Saya dah tidak tahu nak buat apa lagi, impian keluarga untuk memiliki rumah sudah hampir 75 peratus siap.

“Kemudian kena tipu dan kontraktor yang dibayar larikan diri dan duit lebih RM100,000,” ciapnya.

Tambah wanita itu, dia memohon agar orang ramai dapat membantunya mencari kontraktor tersebut dan meminta untuk ditularkan kisah dan wajah lelaki tersebut.

“Saya mohon sangat viralkan muka jantan ini, kami dan buntu. Dia cakap, dia di Kuala Lumpur sekarang, tapi entahlah, saya perlukan pertolongan,” katanya.

Menurut Nanad, dia dan keluarganya cuba untuk meminta penjelasan daripada lelaki tersebut melalui aplikasi WhatsApp, namun gagal dihubungi apabila nombor telefon mereka disekat oleh pihak berkenaan.

Sementara itu, Nanad memaklumkan sebelum lelaki tersebut bertindak melarikan diri, dia memberitahu ingin pulang ke negara asalnya di seberang untuk menyelesaikan urusan di sana dan akan kembali ke Malaysia dalam tempoh dua minggu kemudian.

“Dua minggu lepas lagi dia dah lari. Dia sekat nombor telefon ibu dan ayah. Dia kata, dia ada di Indonesia sekarang, ada masalah dan minta tempoh masa selama dua minggu.

“Ayah saya percaya dan beri dia peluang. Dia janji nak berjumpa,” tulisnya lagi.

Susulan dari kejadian tersebut, bapa saudara Nanad berkesempatan bercakap seketika dengan lelaki itu yang memaklumkan dia tidak lagi melakukan kerja-kerja membuat rumah dan meminta mereka menyelesaikan sendiri keadaan rumah yang belum siap itu.

“Kawan-kawan, kalau korang tahu macam mana nak menangani kes seperti ini, tolong hubungi saya. Mohon sangat-sangat. Semoga Tuhan dapat membalas kebaikan korang,” ciapnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI