GADIS Itali, Francesca Cesarini berdiri di sisi sebuah tiang sambil membetulkan posisi tubuhnya.
Dengan raut wajah yang serius, sepasang matanya kemudian merenung tepat ke arah sebuah kamera yang sedang merekod gerak-gerinya.
Siku kanan Francesca kemudian berpaut kuat pada tiang tersebut, sebelum tubuhnya memanjat tiang itu dalam gerakan perlahan.
Menerusi video itu, jelas kelihatan gadis itu menggunakan sepenuh kekuatan pada kedua-dua sikunya bagi membantu tubuhnya berpaut pada tiang tersebut.
Begitulah kegigihan remaja berusia 15 tahun yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan hanya memiliki satu kaki itu. Siapa sangka, di sebalik kondisi fizikal sebegitu dia memilih untuk menceburi tarian tiang akrobatik.
Malah, video tarian tiang Francesca yang dikongsi di laman YouTube mendapat jumlah tontonan yang tinggi, dengan rata-rata netizen mengagumi bakat yang dimiliki gadis itu.
“Hebatnya! Sebagai seorang individu yang dilahirkan normal, saya malu dengan diri sendiri kerana biarpun mempunyai jari, saya masih kerap menjatuhkan barang dari tangan saya,” komen seorang netizen pada sebuah video YouTube Francesca yang dimuat naik bulan lalu.
Bapa Francesca, Marco Cesarini berkata, biarpun dilahirkan tanpa tangan, anak perempuannya itu merupakan seorang individu yang tahu apa yang dimahukan dalam hidup.
“Dia mahu mencapai sesuatu impian dalam hidupnya. Dia bagaikan bukan seorang individu kelainan upaya, sebaliknya dia seorang insan yang melakukan apa yang dimahukan, menggunakan apa yang dimiliki,” jelas Marco.
Tahun lalu, selepas tiga tahun bergiat dalam aktiviti tarian akrobatik, Francesca bertanding dalam kejohanan maya Persekutuan Sukan Tiang Antarabangsa.
Malah, gadis itu juga merupakan satu-satunya atlet yang bertanding dalam kategori kurang upaya serta berjaya memenangi pingat emas bagi kategori itu.
Penari tiang dari seluruh negara terpaksa menghantarkan rakaman video persembahan mereka kepada persekutuan itu dan dinilai secara maya disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Mengimbau bagaimana minatnya untuk menyertai sukan yang sukar itu bermula, Francesca berkata, pada tahun 2018, dia telah mendedahkan hasrat untuk bergelar seorang penari tiang akrobatik kepada ibunya, Valeria Mencaroni.
“Pada satu hari, saya bangun daripada tidur dan terus memberitahu ibu bahawa saya mahu menjadi seorang penari tiang.
“Ketika itu, saya juga tidak tahu sama ada saya melihat perkara itu di media sosial atau hanya bermimpi tentangnya.
“Apa yang saya tahu hanyalah saya memberitahu ibu bahawa saya mahu menjadi penari tiang,” jelasnya.
Bagi individu yang tidak mempunyai anggota badan, aktiviti menari tiang yang asasnya adalah penggunaan otot lengan dan kaki merupakan satu perkara yang begitu sukar.
Hal ini kerana gerakan penari tiang perlu menggunakan kekuatan otot lengan dan kaki seseorang.
Namun, Francesca menyifatkan aktiviti menari tiang menjadikan dia rasa bebas memandangkan dia boleh melakukan apa sahaja yang dimahukannya.
Gadis itu bagaimanapun mengakui terdapat beberapa elemen sukar dalam gerakan tarian tiang, terutamanya ketika dia perlu memusingkan atau membongkokkan tubuhnya.
Malah, pada sesi latihan baru-baru ini, ketika Francesca menggantungkan tubuhnya dalam posisi terbalik sambil memusingkan badannya, jurulatih remaja itu iaitu Elena Imbrogno memberitahu Francesca agar melakukan gerakan itu sekali lagi dengan kedudukan kepalanya yang sedikit lurus.
“Saya juga berdepan kesukaran ketika terpaksa berpaut dengan hanya sebelah siku atau sebelah kaki. Ia amat sukar,” jelasnya.
Meskipun berdepan cabaran yang lebih berbanding individu normal dalam tarian tiang, Francesca tidak langsung membiarkan perkara tersebut mematahkan semangatnya.
Malah, Imbrogno berkata, gadis itu berjaya melengkapkan rutin latihannya dalam masa hanya dua bulan.
“Kami mempersiapkan diri bagi kejohanan tarian tiang yang disertai Francesca dalam masa sekitar dua bulan.
“Francesca terpaksa menghentikan sesi latihan selama satu tahun setengah susulan pelaksanaan perintah berkurung akibat Covid-19,” kata Imbrogno.
Sebagai seorang jurulatih, Imbrogno berkata, dia menghasilkan satu rutin yang ringkas buat Francesca.
Hal ini kerana dia mahu Francesca menyertai pertandingan itu dalam keadaan yang tenang, relaks dan yakin dengan gerakan yang dilakukannya.
Ibu Francesca, Mencaroni menceritakan bahawa ketika anak perempuannya itu berusia lapan tahun, dia pernah memakai sepasang lengan dan kaki palsu.
Namun, Francesca kemudiannya memutuskan untuk tidak lagi memakai lengan tersebut kerana menganggap ia ‘membataskan’ pergerakannya.
“Kami memakaikan Francesca lengan palsu semasa dia berusia dua tahun.
“Dia kemudian memakainya selama enam tahun sebelum ‘menolaknya’, kerana menganggap ia menjadikan Francesca berasa semakin ‘kurang upaya’,” katanya.
Bertitik tolak dari situ, gadis itu belajar menerima keadaannya dan meneruskan kehidupan tanpa menggunakan lengan palsu.
Sama seperti gadis seusianya, Francesca amat menggemari makanan segera McDonald’s, muzik pop dan juga membaca siri buku fiksyen Harry Potter.