SHAH ALAM – Bakal pengantin yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu akur dengan dugaan yang berlaku apabila majlis pernikahannya terpaksa dibatalkan ekoran ibunya disahkan positif Covid-19.
Nur Farahanim Awaluddin, 32, berkata, persiapan majlisnya yang diadakan di Felda Sungai Tengi Selatan, Sabak Bernam dekat sini sudah dilakukan 100 peratus dengan khemah dan pelamin sudah dipasang pada minggu lalu.
Bagaimanapun, keadaan ibunya, Rosmah Mohd. Hassan, 55, yang tiba-tiba demam sehari sebelum majlis, pada Jumaat lalu membuatkan bapanya, Awaluddin Mahful, 57, membawa wanita itu ke klinik bagi mendapatkan rawatan.
Awaluddin kemudian membuat keputusan untuk membatalkan majlis selepas keputusan ujian saringan sebanyak dua kali yang dilakukan mendapati isterinya positif Covid-19.
“Berdasarkan perancangan, saya dan pasangan (bakal suami) dijadualkan bernikah pada Sabtu dan majlis besarnya diadakan pada Ahad.
“Bagaimanapun, selepas ibu disahkan positif, bapa saya membuat keputusan untuk membatalkan majlis agar tidak mendatangkan risiko kepada tetamu yang diundang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Berita pembatalan majlis perkahwinan Nur Farahanim tular selepas dikongsi melalui aplikasi TikTok.-K!ONLINE