fbpx

Ukraine berisiko diserang bila bila masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden AS, Joe Biden meluluskan pakej sokongan keselamatan berjumlah AS$200 juta (RM836.3 juta) untuk Ukraine pada Disember tahun lalu. - AFP

KIEV, Ukraine – Amerika Syarikat(AS) mengarahkan anggota-anggota keluarga diplomatnya di Kiev supaya meninggalkan Ukraine berikutan ancaman berterusan pencerobohan Rusia, kata Jabatan Negara kelmarin.

Washington  juga membenarkan kakitangan kedutaan tidak penting untuk meninggalkan Ukraine dan menggesa rakyat AS di negara Eropah Timur itu berbuat demikian sekarang. Menurut Washington, pihaknya sukar untuk memindahkan mereka selepas Moscow menceroboh Ukraine sekiranya pencerobohan berlaku.

“Bagaimanapun,  Kedutaan AS terus dibuka dan Kuasa Usaha, Kristina Kvien masih berada di Ukraine sehingga kini,” kata seorang pegawai Jabatan Negara dalam satu kenyataan kepada pemberita.

Pegawai berkenaan mengulangi amaran daripada White House bahawa pencerobohan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Beliau enggan menyebut jumlah sebenar rakyat AS yang berada di Ukraine tetapi seorang perwakilan Jabatan Negara memberitahu pada bulan lalu bahawa bilangan mereka antara 10,000 hingga 15,000 orang.

Sementara itu,  sekitar 90 tan bantuan senjata dari  Amerika Syarikat (AS) tiba di Ukraine ketika ketegangan makin meruncing selepas tentera Rusia berkumpul di sempadan negara itu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Bantuan itu adalah penghantaran pertama yang diluluskan di bawah pakej bantuan ketenteraan AS kepada Ukraine dan termasuk peluru untuk ‘barisan pertahanan hadapan’. 

Penghantaran itu menyusul selepas  lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken  ke Kiev minggu lalu di mana beliau memberi amaran bahawa  tindak balas tegas akan diambil sekiranya Rusia menakluki Ukraine. Moscow bagaimanapun menafikan merancang untuk menyerang atau menakluki Ukraine.

Presiden AS,  Joe Biden meluluskan pakej sokongan keselamatan berjumlah AS$200 juta (RM836.3 juta) untuk Ukraine pada Disember tahun lalu.

Kedutaan AS di Kiev memberitahu, penghantaran tersebut membuktikan komitmen serius AS terhadap hak Ukraine untuk mempertahankan diri dan kedaulatannya.

“AS akan terus memberi  bantuan seewajarnya untuk menyokong angkatan bersenjata Ukraine dalam usaha berterusannya mempertahankan wilayah dan kedaulatannya daripada kekerasan Rusia,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Bantuan itu tiba beberapa jam selepas Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan Blinken  mengadakan perbincangan ‘jujur’ untuk cuba meredakan konflik di Ukraine.

Rusia pernah merampas wilayah Ukraine sebelum ini dengan menduduki Semenanjung Crimea pada 2014.

Sejak dari itu, kira-kira 14,000 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya dua juta yang lain meninggalkan kediaman mereka kerana pertempuran antara tentera Ukraine dan pemberontak  yang disokong oleh Moscow sebelum perjanjian damai dimeterai pada 2015. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI