fbpx

 Zii Jia kemukakan surat rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan sudah menerima surat rayuan rasmi daripada perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berhubung ‘penggantungan’ daripada sebarang kejohanan selama dua tahun.

Justeru, badan induk sukan badminton negara itu memberi jaminan akan mempertimbangkan rayuan tersebut bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan kadar segera demi kelangsungan badminton tanah air.

Katanya, BAM faham dengan kekecewaan serta pandangan yang dilontarkan oleh semua pihak berhubung perkara itu, namun menegaskan tindakan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang dibentangkan kepada mereka.

“Tindakan BAM tidak mendaftarkan Zii Jia dalam mana-mana kejohanan selama dua tahun bukan sahaja memberikan impak terhadap sukan badminton, malah turut memberi kesan terhadap rakyat Malaysia.

“Kami tahu serta faham dengan kekecewaan serta kemarahan yang ditujukan kepada persatuan. Situasi ini cukup mencabar kerana sudah menarik perhatian semua pihak termasuk ahli politik serta pemain-pemain antarabangsa.

“Kami boleh mengesahkan BAM sudah menerima surat rayuan daripada Zii Jia hari ini. Atas kepentingan sukan badminton negara, kami mengambil berat perkara ini bagi mencari jalan penyelesaian,” kata BAM menerusi satu kenyataan.

Tegas BAM lagi, meskipun mereka sudah membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam sebarang kejohanan selama dua tahun, namun ia bukanlah keputusan yang tidak boleh dirayu oleh pemain tersebut.

“Dalam sejarah institusi ini, semua pemain memiliki hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis BAM. BAM bukan sahaja mahu melindungi sukan tetapi juga pemain, nilai dan standard yang melambangkan negara kita,” ujarnya.

Terdahulu, BAM menjadi kecaman peminat-peminat sukan tanah air apabila membuat keputusan tidak mendaftarkan Zii Jia dalam mana-mana kejohanan selama dua tahun bermula 18 Januari lalu selepas dia mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional.

Turut menerima nasib sama adalah bekas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang tidak didaftarkan dalam mana-mana kejohanan selama dua tahun bermula 31 Oktober tahun lalu. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI