MELAKA – Akibat menunggang motosikal secara melawan arus, seorang lelaki parah selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah motosikal lain di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Paya Rumput di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, mangsa yang berusia 40 tahun cedera parah di beberapa bahagian badan selain mengalami pendarahan otak.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian berlaku selepas mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss melawan arus dari arah Krubong ke Sungai Udang.
“Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai telah melawan arus dari kiri jalan sebelum bertembung dengan motosikal Suzuki Panther yang dalam perjalanan menghala ke bandar raya Melaka,” katanya.
“Penunggang motosikal Suzuki Panther gagal mengelak mangsa kerana lampu isyarat berwarna hijau,” katanya.
Menurut beliau, mangsa cuba memintas laluan penunggang motosikal lain, namun dalam masa sama lampu isyarat di lorong tersebut masih hijau.
“Disebabkan itu berlaku pertembungan di tengah persimpangan jalan. “Kaki dan rusuk kanan mangsa patah selain mengalami pendarahan otak. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE