BEKAS anggota kumpulan legenda Wonder Girls, Sunye meluahkan rasa sedih ketika menemui bekas bosnya, J.Y. Park dan bekas ahli kumpulan itu, Sunmi dalam sebuah rancangan baru-baru ini.
Menerusi rancangan Mom Is An Idol, Sunye meluahkan kepada Sunmi, meminta maaf kerana melambatkan proses penghasilan album mereka disebabkan masalah peribadi.
Kedua-duanya turut mengalirkan air mata apabila mengimbau kenangan lama dan Sunmi kelihatan menenangkan kesedihan rakannya itu.
“Kita dapat debut dan menjadi popular semua kerana jasa baik Sunye. Dia bagaikan ibu kepada kami ketika itu,” jelasnya.
Selain itu, Sunye juga bersyukur buat pemilik syarikat JYP Entertainment, J.Y. Park kerana memahami hasratnya untuk berumah tangga.
Komen itu disambut J.Y. Park yang berasakan keputusan itu membimbangkannya, namun dia percaya Sunye seorang yang bertanggungjawab untuk berkahwin di usia muda.
Terdahulu, Sunye yang juga ketua Wonder Girls mengejutkan ramai pihak apabila mengambil keputusan berkahwin ketika berada di puncak populariti pada 2013 sebelum meninggalkan kumpulan itu setahun kemudian.