SOUTHAMPTON – Manchester City gagal meneruskan rentak kemenangan ke-12 berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 1-1 dengan Southampton di Stadium St. Mary awal pagi semalam.
Meskipun menguasai sepenuhnya perlawanan, namun City terlebih dahulu ketinggalan 0-1 seawal minit ketujuh hasil jaringan Kyle Walker-Peters sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi Aymeric Laporte.
Pengurus The Citizens, Pep Guardiola menjelaskan, bukan mudah buat mereka mempertahankan kejuaraan EPL memandangkan setiap pasukan pasti melakukan yang terbaik untuk menewaskan mereka.
“Sebab itu saya sentiasa cakap bukan mudah untuk dapatkan hadiah terbaik (gelaran liga) pada setiap musim. Ia sentiasa sukar kerana setiap pasukan ada kelebihan masing-masing.
“Kami adalah juara bertahan dan sentiasa menang sebelum ini, jadi ia adalah cabaran untuk pasukan lain. Bagi saya, kami akan berdepan kesukaran untuk menang selepas ini,” katanya.
Walaupun gagal meneruskan rentak kemenangan, namun bekas pengendali Barcelona itu tetap gembira dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya kerana masih menunjukkan kegigihan sepanjang perlawanan.
“Kami bermain sangat baik, namun nasib tidak menyebelahi City apabila bolos pada separuh masa pertama. Mereka (Southampton) bermain dengan sangat tersusun sehingga menyebabkan kami sukar beraksi seperti biasa,” ujar Guardiola. – AGENSI