SHAH ALAM – “Tengoklah.. Saya pun pakai baju arwah mak saya. Pakai cincin dia.”
Demikian pengakuan mengejutkan dan memilukan penyanyi Radhi OAG yang memaklumkan, ibu tersayang Allahyarham Fatimah Wee Abdullah @ Georgina Wee, 66, telah meninggal dunia pada 14 Januari lalu akibat kanser usus.
Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali berhasrat mengadakan satu ‘showcase’ khas sebagai usaha mencari wang untuk pembayaran bil hospital yang tertunggak sebanyak RM18,000.
“Saya memang kongsi baju dengan arwah mak sejak kecil. Saiz baju kami sama.
“Kalau kalian perasan, kalau saya buat ‘show’ pun, saya memang akan pakai baju mak sebelum ini. Itu menunjukkan betapa rapat hubungan kami sebagai ibu dan anak,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Radhi ditemui pada majlis pelancaran Sudut Produk Selebriti & Amirul Grocer Cawangan Shah Alam, di Seksyen 15 Shah Alam pada Sabtu.
Bercerita lebih lanjut tentang pemergiaan ibu tercinta yang dijemput Ilahi pada 14 Januari lalu, Radhi reda dengan apa yang terjadi dan ingin mengotakan pesanan Allahyarham iaitu sentiasa menjadi manusia yang lebih baik.
“Arwah mak meninggal dunia di rumah saudara di Kampung Tungku, SS1 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 10, Kota Damansara.
“Mak ‘pergi’ selepas 40 hari abang sulung saya, Termidzi Razali yang meninggal dunia juga kerana kanser iaitu kanser darah dan kulit,” ujarnya.
Menurut Radhi, showcase dijadualkan berlangsung di Bayang Coffee Kafe, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Mac sebelum Ramadan tahun ini.
Bagaimanapun, harga tiket dan perincian lain belum diputuskan dan akan diberitahu kepada para peminat dari semasa ke semasa.
Tanpa berselindung, pelantun lagu Slumber itu memberitahu tentang pesanan arwah ibu yang masih basah di fikirannya agar menjauhi najis dadah dan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
“Dia (arwah mak) bagitahu, benda biasa saya buat dulu. Seks dan dadah yang saya biasa buat dulu, dia suruh tinggalkan.
“Insya-Allah saya akan kotakan nasihatnya. Allah jemput dia ‘pergi’ juga sebenarnya merupakan satu peringatan buat saya untuk jadi nak yang soleh. Tapi mak dah pergi, dari satu sudut walaupun sedih, saya rasa satu beban yang dia tanggung dah dilepaskan. Tak sanggup tengok mak menangis,” katanya.
Tambah Radhi lagi, sebelum arwah ibunya menutup mata buat selama-lamanya, dia sempat membisikkan kalimah syahadah di telinganya.
“Alhamdulillah mak pergi dalam keadaan yang tenang. Sayalah orang terakhir yang ajar dia ucap kalimah syahadah sebelum arwah menutup mata.
“Saya ajar perlahan-lahan dan ketika itu air matanya meleleh. Perkara tersebut satu babak yang tak boleh dilupakan sampai bila-bila,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Radhi kini dalam proses memasarkan produk madu sunnah dan ‘propolis’ sebagai sumber pendapatan di Amirul Grocer selain membekalkan produk sejuk beku roti puri jenama Tisha. – K! ONLINE