JOHOR BAHRU – Seramai lebih 15,000 jentera Pas akan digerakkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka akan diadakan waktu terdekat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, kelmarin.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, jentera itu melibatkan jentera daripada Pas negeri Johor dan juga jentera tambahan daripada pusat dan negeri-negeri lain.
Menurut beliau, jumlah itu akan melibatkan kesemua peringkat daripada pemimpin atasan sehinggalah ke peringkat akar umbi.
“Bagi berdepan dengan PRN Johor ini, setiap kawasan akan melibatkan seramai kira-kira 500 jentera, ini bermakna Pas Johor akan menggerakkan seramai 13,000 jenteranya bagi kesemua 26 kawasan di Johor.
“Sementara itu, Pas Pusat dan juga PAS negeri-negeri lain akan turut menghantar jentera mereka seramai kira-kira 1,500 orang untuk membantu kempen di negeri ini.
“Jadi, untuk PRN Johor kali ini, dianggarkan seramai 15,000 jentera PAS akan turun berkempen bagi memastikan kemenangan calon-calon kami,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Pas Johor, di sini. -K! ONLINE