JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menepis cakap-cakap bahawa akan bertanding pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang turut menjelaskan bahawa beliau langsung tidak akan menawarkan diri untuk bertanding pada PRN ke-15 ini.
Beliau berkata, adalah lebih baik untuk memberi ruang itu kepada calon muda yang berkaliber untuk berentap di pentas politik yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Tidak, saya tidak akan bertanding (PRN Johor) malah tidak akan menawarkan diri untuk bertanding. Seelok-eloknya kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda.
“Saya merasakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah melakukan kerja yang baik menerajui negeri dalam tempoh yang pendek ini.
“Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding. Itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya ketika dihubungi hari ini
Khabar angin Mohamed Khaled akan membuat kemunculan semula bertiup kencang setelah beliau berkongsi gambar bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika menghadap Baginda di Istana Pasir Pelangi, di sini, 14 Januari lalu.
Mohamed Khaled menjelaskan pertemuannya bersama Sultan Johor itu sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa membabitkan negeri ini termasuk isu banjir.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohamed Khaled yang bertanding di kerusi DUN Permas tewas apabila mendapat 20,047 undi berbanding Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh (Bersatu) dengan majoriti 8,746 undi setelah memperoleh 28,793 undi.-K! ONLINE