PARIS – Seorang lelaki Perancis berusia 75 tahun yang sedang dalam percubaan solo menyeberangi Lautan Atlantik, ditemui mati di dalam kabin bot dayungnya yang terbalik, lapor laman berita France 24 semalam.
Menurut pasukan penyelamat yang dikejarkan dari Portugal iaitu negara terdekat dengan lokasi kapal Jean-Jacques Savin itu, anggota-anggota penyelamat perlu menyelam ke dalam laut untuk menarik mayat mangsa ke permukaan.
Mangsa dilaporkan hilang hubungan dengan ahli keluarga dan pasukannya sejak Jumaat lalu sebelum pihak berkuasa mengesan pengakitifan dua suar kecemasan.
“Kami tidak mendengar khabar berita daripadanya sejak pukul 12.34 pagi (waktu tempatan) Jumaat lalu selepas dia mengaktifkan dua suar kecemasan dan menghantar mesej untuk memberitahu bahawa dia berdepan masalah besar,” kata pasukannya dalam satu kenyataan.
Percubaan Savin mendayung merentasi Lautan Atlantik itu adalah buat kali kedua selepas dia berjaya melakukannya pada 2019 sebagai cara sinis untuk mentertawakan usia tuanya.
“Saya akan mendayung lapan jam sehari dan bila angin terlalu kuat, saya akan berlindung di dalam kabin,” tulis Savin di Facebook ketika permulaan pengembaraannya pada 1 Januari lalu.
Sejurus selepas memulakan pengembaraannya pada 1 Januari lalu, keadaan angin menyebabkan pengembara itu terpaksa menambah 900 kilometer pada jarak perjalanannya. – AFP