AMSTERDAM, Belanda – Seorang lelaki yang menaiki penerbangan dari Afrika Selatan ke Belanda secara haram dengan berpaut pada sistem roda sebuah pesawat kargo disifatkan sungguh bernasib baik kerana masih hidup, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Kes luar biasa itu dilaporkan oleh polis Belanda yang menemui individu tersebut ketika pemeriksaan dilakukan di Lapangan Terbang Schiphol.
Penerbangan dari bandar raya Johannesburg ke Amsterdam, Belanda itu mengambil masa kira-kira 11 jam dengan pesawat kargo tersebut dipercayai membuat hentian di ibu kota Kenya, Nairobi.
Kejadian itu sangat luar biasa kerana adalah hampir mustahil bagi penumpang haram seperti itu selamat sekiranya bersembunyi di dalam komponen roda pesawat semasa penerbangan jarak jauh. Ini disebabkan kandungan oksigen yang terhad serta sejuk pada altitud tinggi.
“Lelaki itu ditemui masih hidup di bahagian kompartmen roda pesawat dan dibawa ke hospital. Dia kini dalam keadaan stabil,” kata jurucakap Polis Tentera Diraja Belanda, Joanna Helmonds.
“Agak luar biasa bahawa lelaki itu masih hidup,” tambahnya.
Menurut stesen penyiaran Belanda, NOS, petugas kecemasan berjaya mengembalikan suhu badan lelaki itu kepada bacaan normal ketika ditemui dan apabila ambulans tiba, dia dapat menjawab soalan-soalan asas. – Agensi