ORANG kata, belum cuba belum tahu. Jika sudah mencuba, barulah tahu apakah penangannya.
Mungkin frasa tersebut sesuai menggambarkan perjalanan karier Lan Solo yang kini bertukar angin mendendangkan sebuah lagu mengetengahkan muzik ‘Borneo’.
Daripada rock ‘kapak’ ke jalur pop etnik, boleh dikatakan satu percubaan berani oleh Lan.
Lagu yang berjudul 5 Kaki 4 Inci itu mengetengahkan bunyi yang sememangnya menggambarkan identiti masyarakat Borneo.
Penangan Sumandak Sabah
“Judul 5 Kaki 4 Inci ini adalah simbolik kepada ketinggian wanita dari negeri Sabah yang terkenal dengan kecantikan semula jadi serta keperibadian sopan mereka yang popular dengan gelaran Sumandak Sabah.
“Sebenarnya judul lagu sebegini tidak pelik untuk masyarakat di sana selain unik dan mencuri perhatian,” kata pemilik nama penuh Mohd Razlan Mohamed Yusof itu yang turut mengagumi kejelitaan Sumandak Sabah.
Ujarnya, lagu yang dihasilkan penyanyi dan komposer, Velvet Aduk Lawrence yang turut mendapat sentuhan daripada Marsha Milan dirakam di Kuala Lumpur, manakala lokasi penggambaran video muzik pula di Sabah.
“Dalam lagu ini juga, saya menggunakan dialek bahasa Melayu Sabah dan turut menyelitkan sekitar 20 peratus perkataan daripada bahasa Dusun.
“Bagi mengelakkan sebarang salah faham, saya menyanyi dalam bahasa Melayu Sabah dan menyelitkan beberapa perkataan bahasa Dusun yang mudah difahami dan disebut,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menurut Lan, penghasilan 5 Kaki 4 Inci juga sebagai tanda penghargaannya kepada penyokongnya dari Sabah dan Sarawak.
“Seperti yang semua tahu, saya ada membuka perniagaan runcit produk dari Sabah dan menjualnya ke Kuala Lumpur dan sambutan yang diberikan sangat baik.
“Justeru, saya hadiahkan 5 Kaki 4 Inci buat peminat dari Borneo yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya saya selama ini,” jelasnya.
Tidak kembali kepada Kristal
Tutup kisah lagu Borneo perbualan terheret ke arah perseteruannya dengan Rody Kristal yang baru-baru ini menemukan jalan titik harmoni.
Lan bagaimanapun tidak pernah merancang untuk kembali ke pangkuan kumpulan lamanya, Kristal.
Katanya, meskipun tiada lagi sengketa, dia harus menghormati band baharunya iaitu Kristal X yang ditubuhkan sejak tahun 2020.
“Kini saya ada Kristal X, tidak sepatutnya saya kembali kepada Kristal dan mereka juga juga sudah ada vokalis sendiri.
“Namun, jika hendak menjalinkan sebarang kerjasama, saya tidak akan pernah menolak.
“Semua perkara yang berlaku sebelum ini mematangkan saya. Tidak perlu ada perkara negatif lagi, buat apa hendak bermusuh sesama sendiri,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbaharu Kristal X, Lan memberitahu, kumpulan itu masih aktif biarpun masing-masing ada komitmen sendiri.
“Kristal X terdiri daripada barisan pemuzik profesional. Jadi, saya tidak pernah menyekat mereka ke sana-sini dan akan bersatu jika ada projek, tiada masalah kalau ada yang melakukan kerja lain,” katanya lagi.
Saman, pengajaran
Tahun lalu, nama bapa kepada empat orang cahaya mata itu menjadi sebutan umum apabila terpalit dengan kontroversi perang media sosial ‘lima sekawan’ melibatkan penyanyi Siti Nordiana yang berlarutan sehingga ke mahkamah.
“Kami sudah serahkan segala-galanya kepada pihak peguam yang dilantik dan biarlah semuanya diselesaikan dengan cara yang baik.
“Kami juga memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka (pihak mahkamah) menggunakan segala kebijaksanaan untuk memutuskan apa sahaja bentuk keputusan,” jawabnya dalam nada positif tanpa sebarang kata-kata negatif yang boleh mengganggu perjalanan kes.
Lan juga tidak menafikan kes tersebut turut memberi pengajaran untuk menjadi lebih matang dalam segala hal.
“Tak boleh bercakap banyak pun tetapi kes ini memang beri kesedaran kepada saya untuk menjadi seorang yang lebih matang dalam segala hal.
“Apa yang saya boleh lakukan sekarang ialah terus berkasih sayang dengan semua orang.
“Suka saya atau tidak, oleh kerana benda negatif tetapi saya abaikan sahaja semuanya,” ujarnya.
Dia juga menegaskan tidak mampu untuk memuaskan semua orang dan akan meneruskan hidup dengan caranya sendiri.
Bahkan, perkara tersebut turut membuatkan dirinya berfikir sejenak sehingga timbul persoalan mengapa dan kenapa berlaku.
Dalam hidup ini tak boleh puaskan hati semua orang dan saya akan teruskan dengan cara sendiri.
“Mereka yang mengenali tahu saya orang macam mana. Saya tak pernah bersuara atau cari pasal dengan sesiapa tetapi bila sudah bermulanya episod tersebut, buat saya berfikirlah seketika mengapa dan kenapa semua itu berlaku,” jelasnya lagi.