SHAH ALAM – Tindakan sebuah kilang pembuatan sabun di daerah ini membiarkan loji rawatan air sisa beroperasi tanpa pengawasan memakan diri apabila dikompaun, kelmarin.
Dalam serbuan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pukul 11 pagi itu turut mendapati kilang berkenaan gagal melabelkan bekas buangan bagi pengurusan sisa buangan mereka.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, perkara itu terbongkar dalam operasi penguatkuasaan JAS pada cuti hujung minggu dan kilang terbabit didapati beroperasi sejak tahun 2015.
Menurutnya, sabun yang dihasilkan kilang itu adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada individu bertanggungjawab dalam mengawasi loji rawatan sisa yang sedang beroperasi.
“Ini boleh menyebabkan sisa atau efluen mengalir keluar longkang awam tanpa rawatan sempurna dan seterusnya ke sungai berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menambah, tong-tong sisa buangan juga tidak dilabelkan dengan tanda pengenalan yang ditetapkan JAS.
Ujar Nor Aziah, ini boleh mengakibatkan pengurusan buangan terjadual menjadi tidak teratur apabila bercampur dengan sisa industri lain serta tidak dilupuskan di tempat yang dilesenkan oleh JAS.
“Justeru, empat kompaun dengan nilai keseluruhan RM8,000 dikeluarkan kepada pemilik kilang berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling, PPKAS (Buangan Terjadual) 2005 dan PPKAS (Efluen Perindustrian) 2009 jelasnya. -K!ONLINE