YAOUNDE, CAMEROON – Comoros yang mencipta sensasi pada penampilan pertama di Piala Negara- Negara Afrika (AFCON) kini berdepan krisis di posisi penjaga gol menjelang aksi kalah mati menentang tuan rumah yang juga juara lima kali, Cameroon awal pagi esok.
Segalanya bermula selepas 12 individu di dalam pasukan itu disahkan positif Covid-19 membabitkan tujuh pemain dan termasuk ketua jurulatihnya, Amir Abdou.
Dua daripada tujuh pemain yang dijangkiti adalah penjaga gol, Moyadh Ousseini dan Ali Ahamada, manakala penjaga gol utama sebelum ini, Salim Ben Boina tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.
“Situasi sekarang cukup rumit. Kami akan lakukan apa yang termampu untuk mencari penyelesaian,” kata pengurus pasukan, El Hadad Himidi.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) memutuskan yang pasukan terjejas ekoran Covid-19 perlu meneruskan perlawanan walaupun dihimpit dengan masalah ketiadaan penjaga gol.
“Pasukan perlu bermain jika mereka memiliki minimum 11 pemain yang masih negatif. Jika tidak ada penjaga gol, pemain lain perlu menggantikannya untuk mencukupkan jumlah minimum 11 orang.
“Untuk kes luar jangka, Jawatankuasa Penganjur akan mengambil keputusan sewajarnya,” kata CAF.
Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu, Comoros menang 3-2 ke atas Ghana yang juga juara empat kali sekaligus layak sebagai empat pasukan tempat ketiga terbaik. – AGENSI