fbpx

Imuniti tiada merit – hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak hujahan pembelaan bahawa  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu menerima imuniti pendakwaan mahkamah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam pertikaian bahawa Ahmad Zahid selaku tertuduh layak untuk menerima kelebihan tersebut.

“Dalam keputusan di akhir pendakwaan, hujahan pembelaan bahawa tertuduh perlu diberi imuniti pendakwaan mahkamah, adalah tidak bermerit,” katanya ketika membaca penghakiman ringkas yang kemudian memerintahkan Ahmad Zahid membela diri bagi 47 pertuduhan yang dihadapi.

Sebelum ini, pada 6 September tahun lalu, peguam Hisyam Teh Poh Teik dalam hujahan tegas pembelaanya, menyatakan bahawa Ahmad Zahid menuntut imuniti daripada pendakwaan mengikut Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini kerana peguam itu berkata, Ahmad Zahid sepatutnya menerima kekebalan, selepas mendedahkan maklumat berkaitan transaksi Yayasan Akalbudi dalam dua pernyataan pada 2 dan 3 Julai 2018.

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam satu daripada pernyataan berkenaan, Hisyam berkata, Ahmad Zahid mempunyai kekebalan terhadap 46 daripada 47 pertuduhan atau dengan kata lain, tertuduh tidak boleh didakwa.

Peruntukan yang dimansuhkan pada 1 Oktober 2018 menyatakan bahawa, sesiapa yang mendedahkan maklumat atau mengemukakan sebarang dokumen kepada pihak berkuasa, tidak akan didakwa.

Pihak pendakwaan pula menyatakan, Ahmad Zahid tidak kebal daripada didakwa hanya kerana mendedahkan maklumat berkaitan Yayasan Akalbudi, yang dijalankan keluarganya.

Menurutnya, tuntutan tertuduh untuk kekebalan tidak boleh didengar oleh mahkamah kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk mengetepikan pertuduhan berdasarkan kekebalan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI