PETALING JAYA – Keadaan cuaca bagi beberapa kawasan di lapan negeri terlibat dilaporkan mengalami hujan lebat serta ribut petir petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam laporan cuacanya hari ini berkata, keadaan cuaca buruk ini sedang tertumpu di Kulim dan Bandar Baharu bagi negeri Kedah, manakala di Perak melibatkan kawasan Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Sementara itu, di Pahang kawasan yang terlibat adalah Tanah Tinggi Cameron dan Bentong serta kawasan Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor.
Selain itu, keadaan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda di keseluruhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Jelebu, Negeri Sembilan.
“Di Sabah, hujan sedang melanda kawasan Pendalaman ( Sipitang, Tenom, Beaufort dan Tambunan) dan sekitar Pantai Barat negeri itu.
“Susulan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir bagi kawasan di tujuh negeri berikut dan keadaan cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 6 petang hari ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut MetMalaysia, bagi negeri Sarawak, amaran ribut ini berkuat kuasa sehingga awal malam nanti dan kawasan yang terlibat adalah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Bintulu), Miri (Miri dan Marudi) serta Limbang.
Dalam pada itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi negeri Sabah selama dua hari bermula esok.
“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan beserta angin kencang di bahagian Sandakan, Kudat dan Pantai Barat Sabah,” ujarnya dalam satu kenyataan. – K! ONLINE