PETALING JAYA – Penduduk di Hulu Kelang dekat sini digemparkan dengan kejadian hujan air batu yang melanda kawasan itu petang tadi.
Berdasarkan sebuah video berdurasi 26 saat yang dikongsikan di laman Facebook, kejadian pada pukul 4 petang itu disaksikan oleh beberapa penduduk di sekitar Zoo Negara.
Selain itu, kejadian sama turut dilaporkan berlaku di Wangsa Maju dan Keramat.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam laporannya memaklumkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang seluruh di Kuala Lumpur dan Jelebu, Negeri Sembilan.
Keadaan cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 6 petang hari ini.
Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai turut terkejut melihat kejadian hujan air batu.
“Tadi sewaktu berada di dalam kereta menunggu anak balik sekolah terdengar bunyi kuat atas bumbung, lepas itu nampak ada ais di cermin hadapan. Risau juga sebab ketulannya besar-besar,” ujar @MohdKhairulAnuar. – K! ONLINE