PETALING JAYA – Bintang Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Adibah Noor akan menggunakan RM20,000 hasil wang kemenangannya untuk melunaskan hutang-piutang sebelum ini.
Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd Omar yang menduduki tempat keempat berkata, dia juga mahu menebus kembali barang kemas yang pernah digadai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Rasanya semua sudah tahu bagaimana saya lalui hidup susah ketika dua kali tempoh PKP sebelum ini. Saya langsung tak malu mengaku tentang hal tersebut.
“Duit kemenangan ini saya akan gunakan untuk bayar semua hutang yang telah saya pinjam sebelum ini dan tebus kembali barang kemas.
“Saya juga akan simpan sedikit dan jika ada lebih saya mahu bercuti rehatkan diri,” katanya.
Terdahulu, pelantun lagu hit Terlalu Istimewa itu pernah mendedahkan kehidupan sukarnyansepanjang tempoh PKP hingga terpaksa meminjam wang dan menggadai barang kemas demi kesinambungan hidupnya.
Pada konsert akhir GV8 semalam, Adibah menyanyikan lagu Seroja nyanyian asal S. Effendy dan duet bersama Datuk Zainal Abidin menerusi lagu Kau Di Hatiku.
Manakala bagi pusingan battle pula, Adibah berentap dengan Azan Scan menerusi lagu Kami Rappers dari 4U2C sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi.
GV8 menyaksikan penyanyi kelahiran Singapura Aliff Aziz merangkul gelaran juara sekali gus membawa pulang RM100,000 berserta trofi.