fbpx

Bila si penakut hantu, pemburu puntianak bertemu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA Ex Aku Pontianak telah menemui penonton setiap Rabu, pukul 9.30 malam mulai 19 Januari lalu.

SKRIP yang begitu segar dan watak yang tidak pernah dilakonkan antara tarikan utama buat barisan pelakon Ikmal Amry, Elizabeth Tan dan Raysha Rizrose bersetuju membintangi drama Ex Aku Pontianak yang diterbitkan oleh Red Comm untuk jenama Gempak Original Series.

Biarpun drama tersebut memilih mitos puntianak yang sudah cukup popular dalam kebanyakan karya tempatan dan antarabangsa sebagai naratif penceritaan, namun Ex Aku Pontianak berjaya tampil berbeza.

Menurut pelakon utamanya Ikmal, wataknya sebagai Malik seorang kasanova berbeza dengan watak-watak yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Malik memang sangat berbeza dengan diri saya yang sebenar. Malik seorang yang kelakar, kaki perempuan dan sangat menjengkelkan. Saya tidak pernah dapat watak seperti ini, jadi saya seronok mencuba watak berbeza.

BARISAN pelakon drama Ex Aku Pontinak seronok berlakon bersama.

“Sebelum penggambaran, saya buat kajian skrip dan watak Malik. Selepas hampir 30 hari hidup sebagai Malik, sukar untuk saya membuang karakternya sehingga terbawa-bawa pulang ke rumah walaupun penggambaran telah selesai sehingga ditegur isteri,” kongsi Ikmal.

Tambah Ikmal, biarpun tidak pernah bergandingan dengan semua barisan pelakon dalam drama Ex Aku Pontianak sebelum ini, tetapi keserasian antara mereka terbentuk sejak hari pertama penggambaran lagi.

“Kami semua tidak pernah berlakon bersama, tetapi sebaik tiba di set masing-masing berada dalam karakter sendiri. Oleh sebab itu, kami mudah serasi dan penggambaran dapat berjalan dengan lancar,” kata Ikmal.

WATAK puntianak dilakonkan oleh Elizabeth Tan.

Penakut

Sementara itu, Elizabeth Tan atau mesra disapa Lizzy yang memegang watak pontianak bernama Bella mendedahkan, dia sebenarnya seorang yang penakut dan tidak pernah menonton cerita seram atau hantu.

Justeru, melakonkan watak puntianak begitu mencabar buat dirinya sebagai pelakon.

“Saya seorang yang penakut dan tidak pernah menonton cerita seram atau hantu. Jadi, sukar untuk membawa watak puntianak kerana saya tidak merujuk atau menonton langsung cerita seram kerana takut.

“Sebagai persediaan, saya hanya bertanya orang sekeliling bagaimana karakter sebagai puntianak. Selain itu, saya agak bernasib baik kerana ada pengalaman menjadi hantu dalam filem Misteri Dilaila sebelum ini,” ujarnya.

Sambung Lizzy, disebabkan ketakutan terhadap hantu membuatnya mengelak untuk melihat dirinya sendiri di dalam cermin selepas siap dengan kostum dan solekan puntianak.

“Jika difikirkan balik memang agak lucu, saya seorang penakut tetapi memegang watak puntianak (ketawa). Disebabkan penakut, saya langsung tidak lihat cermin selepas siap bersolek sebagai puntianak di set penggambaran.

“Bagi saya, watak Bella lebih kepada antagonis berbanding menakutkan orang. Skripnya juga sangat menarik, rasanya sepanjang berlakon, saya tidak pernah membaca skrip seperti ini yang lain daripada drama lain,” tuturnya.

RAYSHA (kanan) tampil berbeza dengan watak sebagai pemburu puntianak.

Pemburu puntianak

Dalam pada itu, Raysha yang sebelum ini sering membawa watak-watak gadis ayu tampil berbeza dalam Ex Aku Pontianak apabila memegang watak Suraya seorang pemburu puntianak.

Tidak hanya perlu terlihat kuat dan gagah di skrin, Raysha juga melakukan semua aksi lagak ngeri sendiri dalam drama arahan Shamyl Othman itu.

“Pertama kali mendapat skrip drama ini, saya terus tertarik kerana watak Suraya sangat berbeza dan tidak pernah saya bawakan sebelum ini.

“Saya juga perlu terlihat kuat dan melakukan persediaan fizikal kerana banyak terlibat dengan adegan aksi dalam drama ini,” ujar Raysha yang teruja dapat bergandingan dengan Fatimah Abu Bakar dan Nadiya Nisaa.

Pengarahnya, Shamyl Othman menjelaskan, meskipun drama ini mengangkat mitos puntianak sebagai subjek utama, namun pasukan produksinya cuba membawa kisahnya ke satu konteks baharu.

IKMAL (kanan) sukar untuk membuang karakter yang dibawanya dalam drama itu.

“Dalam cerita ini, kita tampilkan puntianak moden yang cantik dan bergaya. Penonton tidak akan dapat lihat puntianak mengilai atau berpakaian serba putih seperti kebiasaannya,” ujar Shamyl.

Berkongsi tentang cabaran, disebabkan drama ini diselitkan elemen seram, penggambaran dilakukan waktu malam hingga awal pagi.

“Selain cuaca yang tidak menentu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk memastikan keselamatan semua kru serta pelakon, penggambaran berjalan lancar,” katanya.

Drama Ex Aku Pontianak telah menemui penonton setiap Rabu, pukul 9.30 malam mulai 19 Januari lalu. Karya sebanyak 10 episod itu boleh ditonton secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI