fbpx

Anak saudara, bekas pekerja Ahli Parlimen didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Anak saudara kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R.Sivarasa dan bekas pekerjanya didakwa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah berhubung kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, lima tahun lalu.

Bagaimanapun R. Naveen Kularasa, 50, yang juga pembantu peribadi Sivarasa dan pemandu van Nico Kam Joo Hoe ,24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama telah secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman yang merupakan lelaki warga Bangladesh.

Ia sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik individu itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Pertuduhan kedua dan ketiga Naveen dan Nico didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan menerima wang tunai RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Nico) berhubung perkara sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Cheras dan sekitar Kuala Lumpur antara 17 hingga 21 September 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai dan peguam M.Puravalen mewakili Naveen manakala Nico tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Nico memaklumkam kepada mahkamah bahawa dia datang ke mahkamah hari ini dengan menggadai barang kemas milik ibunya dan hanya mempunyai RM1,500.

“Ibu saya hadir sebagai penjamin hari ini,” kata Nico.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI