PARIT BUNTAR – Seorang warga emas maut setelah motosikal jenis Modenas Elegan ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX di Batu 7 Jalan Baru Kuala Kurau petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, Othman Hamad, 63, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, semasa kejadian kereta Proton Saga FLX dipandu lelaki warga emas yang juga pesara guru bersama seorang penumpang wanita berusia 34 tahun dari arah Kuala Kurau menghala ke arah Simpang Lima.
“Setiba di tempat kejadian kereta berkenaan dikatakan membelok masuk ke simpang di sebelah kanan jalan, secara tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah belakang telah melanggar bahagian pintu sebelah kanan.
“Kemalangan menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan mangsa yang tinggal di Parit Haji Napis terjatuh,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Pemeriksaan petugas kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah Marzuki, berdasarkan siasatan awal punca kemalangan disebabkan penunggang motosikal melanggar pintu hadapan sebelah kanan kereta tersebut manakala kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE