LONDON – Seorang wanita dari Hertfordshire, England menjadi perhatian ramai kerana menunggang seekor kuda ketika membuat pesanan makanan pada laluan pandu lalu McDonald’s, lapor akhbar The Sun semalam.
Menurut laporan Bristol Live, wanita tersebut dilihat menunggang kuda ketika membuat pesanan di kaunter pandu lalu sebelum turun daripada kuda tersebut.
Ketika pesanan dibuat, haiwan itu dilihat menghalakan muncung mulutnya pada bahagian tingkap pesanan, berkemungkinan untuk mencari makanan.
Ia kemudian berlalu dari kaunter tersebut bersama wanita itu yang memegang secawan kopi.
Sementara itu, menurut McDonald’s, restoran itu kebiasaannya tidak membenarkan pembeli menunggang kuda atau apa-apa pengangkutan selain daripada kereta untuk membuat pesanan pandu lalu.
“Lorong pesanan pandu lalu kami dibina khas untuk kereta, van, trak atau skuter mobiliti yang dibenarkan menggunakan jalan raya.
“Kesihatan dan keselamatan pelanggan dan pekerja adalah keutamaan kami dan disebabkan itu, kami tidak akan melayan pejalan kaki, penunggang basikal, penunggang kuda atau apa-apa kenderaan menggunakan kuda pada laluan pandu lalu,” katanya. – AGENSI