SYDNEY – Dua beradik yang sedang mengembara di bahagian pantai selatan New South Wales, Australia mencabar keberanian diri dengan bermalam di atas buaian yang digantung antara dua tebing pada ketinggian 21 meter (m) di udara, lapor portal berita MailOnline semalam.
Sam Simons, 23, dan adiknya, Ariana Simons, 19, menemui tebing tersebut ketika sedang mengembara bersama keluarga ketika cuti musim panas.
Mereka membuat keputusan untuk bermalam di atas buaian yang digantung bagi menikmati pemandangan indah.
“Saya sering mengimpikan untuk melakukan perkara ini selama bertahun-tahun lamanya. Saya hanya perlu mencari tebing yang mempunyai bentuk yang tepat (bagi memasang buaian), dan apabila menemui lokasi ini, kami tidak melepaskan peluang tersebut,” kata Sam.
Tambahnya, aktiviti tersebut amat menarik kerana mereka boleh melihat matahari terbit dari bahagian atas lembah dengan ditemani bunyi-bunyian burung dan angin.
“Ia merupakan tidur paling indah dalam hidup saya,” ujarnya. – AGENSI