BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masih terlalu awal untuk menyatakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi sebagai penanda aras kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Beliau berkata, meskipun ramai pihak beranggapan bahawa PRN Johor boleh dijadikan penanda aras PRU-15 tetapi ia masih terlalu awal untuk dijadikan ukuran.
“Kita kena lihat dulu (penanda aras PRU-15), PRN Johor belum pun bermula,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Bera di sini hari ini.
Semalam Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN Johor.
Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.
“Saya minta Kementerian Kesihatan menyediakan cadangan (SOP) untuk saya bawa dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN),”ujarnya. -K! ONLINE