SEGAMAT – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap 30 peratus calon wanita dari parti berkenaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, berkata, walaupun dasar kuota wanita sama ada dalam parti politik, agensi dan sebagainya adalah sebanyak 30 peratus tetapi pihaknya mahukan lebih ramai wanita dalam kepimpinan parti.
“Kita masih belum memutuskan berapa banyak kerusi serta nama calon wanita yang Bersatu akan tandingi kerana hanya mengetahui pembubaran DUN Johor semalam.
“Kami akan melakukan perundingan bersama parti sekutu lain dalam Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.
“Ini kerana terdapat 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor dan kita akan menghantar nama calon wanita sekurang-kurangnya 30 peratus,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Program Penyampaian Kotak Makanan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Dan Kit Dana Kasih LPPKN di Spang Loi, Batu Anam di sini hari ini. -K! ONLINE