JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor melihat tindakan mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh UMNO sebagai helah untuk ambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.
PH Johor dalam satu kenyataan semalam turut mempersoalkan tindakan itu yang dibuat tanpa mengambil kira keadaan kesihatan dan ekonomi negeri menjadi lebih stabil.
Katanya, PH Johor tetap dengan pendirian bahawa pada ketika ini sebenarnya bukan masa yang sesuai untuk pilihanraya di saat virus Covid-19 varian Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya yang sedang kita hadapi.
“Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?
“Kami juga cukup yakin inilah kerisauan, hasrat serta nurani rakyat biasa pada ketika ini. Bahkan pelaksanaan pilihanraya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.
“Malangnya, UMNO tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu dikongsikan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.-K! ONLINE