fbpx

PM akui sedikit kelewatan bantuan banjir, mahu diagihkan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERDANA MENTERI Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanya sesuatu kepada seorang mangsa banjir pada Majlis Santunan Kasih Mangsa Banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui berlaku kelewatan agihan bantuan banjir Keluarga Malaysia yang disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata antaranya adalah kerana setiap permohonan memerlukan pengesahan ketua komuniti atau ketua kampung sehingga menyebabkan kelewatan.

Beliau memberitahu bantuan tersebut melibatkan wang tunai RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan rumah, baucar tunai RM500 bagi pembelian barangan elektrik dan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan kenderaan yang terkesan banjir.

Selain itu, ia turut melibatkan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

“Lain-lain bantuan banjir kita minta selesai dengan segera. Jika diikutkan saya, memang saya tidak mahu lewat.

“Tetapi apabila melibatkan duit kerajaan, ia perlu diaudit dan perlu maklumat terperinci. Jadi bantuan akan sedikit lewat tapi tidak akan terlalu lewat seperti sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Mangsa Banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di sini hari ini.

Tambahnya, bantuan wang ihsan (BWI) RM1,000, ia hampir selesai 100 peratus.

Menurut Ismail Sabri pemberian bantuan untuk membeli barangan rumah, RM2,500 dijangka diagihkan bermula minggu depan.

“Bagi rumah rosak akibat banjir yang kurang dari RM5,000 akan menerima tunai, jika lebih daripada RM5,000 akan dinilai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) ,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Mesyuarat Jawatakuasa Khas Pengurusan Bencana Pusat akan diadakan minggu depan bagi membincangkan secara menyeluruh musibah banjir di negara ini.

“Ini kerana setiap tahun berlaku banjir dan kerajaan perlu berbelanja besar dan kali ini mungkin mencecah RM6 bilion dengan RM1.4 bilion sahaja untuk bantuan tunai secara terus belum termasuk kerosakan.

“Kalau RM6 bilion banyak perkara kita boleh buat untuk kurangkan kesan banjir seperti tebatan banjir, lebarkan atau dalamkan sungai dan kalau tidak buat kerajaan perlu berbelanja akhirnya menyusahkan rakyat,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI