AWASA, Ethiopia – Sejenis makanan ruji rakyat Etiopia, enset dilaporkan boleh menjadi sumber makanan terbaharu dan penyelamat situasi kebuluran di saat dunia berdepan perubahan iklim, lapor Saudi Gazette, kelmarin.
Menurut satu kajian terbaharu, tanaman berbentuk seperti pisang itu berpotensi memberi makan kepada lebih 100 juta orang di dunia yang semakin panas.
Tumbuhan ini hampir tidak dikenali di luar Etiopia, di mana ia kebiasaannya digunakan untuk membuat bubur dan roti.
Saintis mencadangkan agar tanaman itu boleh ditanam dalam julat yang lebih besar di Afrika dan diperkenalkan di negara-negara yang mempunyai kekangan bekalan makanan.
“Ini adalah tanaman yang boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha menangani keselamatan makanan dan pembangunan mapan,” kata Dr. Wendawek Abebe dari Universiti Hawassa.
Enset atau pisang palsu merupakan buah-buahan yang boleh dikatakan berasal daripada keluarga pisang tetapi hanya dijadikan makanan di satu bahagian di Etiopia.
Buah tumbuhan yang kelihatan seperti pisang ini tidak boleh dimakan, namun batang dan akar berkanjinya boleh ditapai dan digunakan untuk membuat bubur serta roti.
Menggunakan tinjauan pertanian dan kerja pemodelan, saintis meramalkan julat potensi enset dalam tempoh empat dekad akan datang mampu menjadi sumber makanan kepada lebih 100 juta orang.
Penyelidik Royal Botanic Gardens, Kew, Dr James Borrell berkata, penanaman enset sebagai tanaman penampan untuk situasi terdesak boleh membantu meningkatkan keselamatan makanan.
“Ia mempunyai beberapa ciri luar biasa yang menjadikannya benar-benar unik sebagai tanaman.
“Anda boleh menanamnya pada bila-bila masa, menuainya pada bila-bila masa dan ia tidak akan mati. Itulah sebabnya mereka memanggilnya pokok melawan kelaparan,” jelas Borrell.
Etiopia adalah pusat utama tuaian tanaman domestik di Afrika, hab kepada penghasilan kopi dan banyak tanaman lain. – Agensi