KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan adalah berhubung dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Al-Sultan Abdullah di IJN pada 20 September lepas.
Menurut kenyataan itu, Baginda telah menjalani rawatan intervensi pada 20 September lalu setelah Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan terdapat kecederaan pada sendi-sendi lutut dan bulu lali Baginda ketika bersukan.
“Rawatan susulan ini tertangguh daripada tarikh tersebut ekoran daripada pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 di hospital-hospital awam, termasuk IJN.
“Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN ,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara sebentar tadi.
Tambah kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini.
“Kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.
“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan agar Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” ujarnya. – K! ONLINE