KOTA TINGGI – Satu mayat lelaki warga Indonesia ditemui di perairan Singapura semalam dipercayai mangsa kejadian bot pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terbalik di Teluk Ramunia, di sini Khamis lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dimaklumkan oleh pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Menurutnya, mayat lelaki ditemui di kedudukan lima batu nautika barat daya Changi Naval Base, Singapura.
“Mayat yang ditemui itu dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika dari lokasi bot terbalik.
“Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai pada mayat yang dipercayai telah mati lebih dari dua hari.
“Mangsa berusia 39 tahun warga Indonesia dan disyaki salah seorang daripada tiga baki mangsa yang hilang semasa kejadian bot karam tempoh hari,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nurul Hizam berkata, OP CARILAMAT memasuki hari keempat semalam diteruskan dengan sektor pencarian di laut merangkumi seluas 54 batu nautika persegi dan pencarian di pesisir pantai sepanjang 20 kilometer dengan penglibatan seramai 76 anggota pasukan penyelamat.
Antara yang terlibat ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti maritim.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua maut manakala enam disyaki hilang selepas bot pancung membawa 27 penumpang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia karam di perairan Teluk Ramunia pukul 4.50 pagi, 20 Januari lalu.
Manakala tiga lagi mayat wanita berjaya dijumpai pada pukul 7.30 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.-K! ONLINE