YAN – Tidak sampai 24 jam kejadian kebakaran di Maahad Tahfiz Assyatirie di cawangan Kampung Dulang Besar di sini semalam, asrama di pusat pengajian induknya di Sungai Dedap di sini pula terbakar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, seramai 240 pelajar termasuk 15 dari cawangan Kampung Dulang Besar yang dipindahkan ke situ semalam terselamat kerana berada di blok pengajian lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, kebakaran melibatkan blok asrama tiga tingkat kelas A.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, kebakaran telah dipadamkan oleh petugas maahad menggunakan alat pemadam api serbuk kering.
“Hasil pemantauan mendapati kebakaran berlaku di tingkat tiga bangunan yang melibatkan kebakaran 50 peratus bahagian siling dan sedikit tilam di bilik asrama tersebut.
“Kita telah membuat pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi api di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah bangunan asrama pelajar dan pejabat Maahad Tahfiz Assyatirie di Kampung Dulang Besar di sini terbakar.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, kira-kira 13 pelajar dan beberapa kakitangan pusat pengajian itu terselamat kerana berada di luar bangunan kerana terlibat aktiviti lain. – K! ONLINE