SEBERANG PERAI – Seorang pekerja kedai runcit mengalami kecederaan selepas terkena beberapa das tembakan pada badan oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dalam kejadian di Pokok Tampang, Tasek Gelugor di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun dilaporkan cedera pada dada kanan dan tangan kanan selepas terkena tembakan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek berusia 33 tahun dikatakan pergi ke kedai runcit milik seorang wanita warga tempatan itu sambil membawa selaras senapang patah.
“Suspek menggunakan senapang patah itu yang merupakan milik bapanya untuk menembak mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospita Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan dan suspek turut ditangkap selepas itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat perasaan tidak berpuas hati suspek yang sebelum ini kerap ke kedai runcit itu terhadap mangsa.
Bagaimanapun pihak berkuasa tidak mendedahkan punca perasaan tidak berpuas hati tersebut.
Menurut Mohd. Radzi, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – K! ONLINE