fbpx

Kongsi berita kematian bapanya, Uyaina undang emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perkongsian Uyaina di laman Instagramnya mendapat perhatian orang ramai

PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara popular Uyaina Arshad mengundang simpati dan emosi selepas berkongsi keratan akhbar berita kematian bapanya, Allahyarham Leftenan Komander Arshad Ibrahim di Instagramnya sebentar tadi.

Menurut Uyaina, 30, arwah bapanya yang berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah meninggal dunia hampir 25 tahun dahulu di New Zealand ketika dia berusia lima tahun.

Bukan mahu mengundang simpati, sebaliknya tujuan Uyaina berkongsi keratan akhbar berkenaan adalah untuk mempromosikan single pertamanya bersama suami, Raja Syahiran yang berjudul Hingga Akhir Waktu.

“Sebenarnya keluarga dan rakan rapat memang tahu kisah kehidupan saya, cuma pengikut di Instagram memberi pelbagai reaksi. Ada yang terkejut kerana tidak tahu mengenai perkara tersebut.

“Itu adalah keratan akhbar asli. Sebenarnya keratan akhbar berkenaan tiada dalam simpanan kami tidak tahu hilang ke mana, nasib baik ada kenalan yang simpan dan hantar kepada kami. Jadi, saya selitkan keratan akhbar tersebut video muzik Hingga Akhir Waktu,” ujar Uyaina ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Uyaina yang turut menulis lirk lagu Hingga Akhir Waktu menjelaskan, lagu tersebut cukup bermakna kerana didedikasikan khas buat peminat dan ibunya Siti Noor Farah Jaafar sempena pernikahannya yang berlangsung pada 21 Disember tahun lalu.

Lebih menarik, video muzik lagu tersebut diinspirasikan daripada kisah benar cinta ibu dan bapa Uyaina sendiri. Uyaina dan abang keduanya, Kapten Azameer Uzreem turut berlakon dalam video muzik Hingga Akhir Waktu sebagai watak ibu dan bapa mereka ketika muda.

“Kiranya seperti projek keluarga, saya dan abang berlakon sebagai ibu serta bapa ketika muda, manakala anak-anak buah pula membawakan watak kami semasa kecil.

“Lagu dan video muzik ini sangat dekat dengan saya kerana mengangkat kisah cinta ibu dan bapa saya sendiri. Kami juga menyelitkan babak cabaran ibu membesarkan kami empat beradik sebagai ibu tunggal.

“Sepanjang 25 tahun, ibu tidak berkahwin lain. Jadi, lagu ini kisah cinta ibu dan arwah suaminya sehingga ke akhir hayat. Ibu menitiskan air mata dan terharu melihat video muzik tersebut ketika dimainkan pada majlis pernikahan saya,” kongsi Uyaina.

Sungguhpun begitu, Uyaina tidak menyanyi dalam single Hingga Akhir Waktu sebaliknya hanya berpuisi.

“Suami mahu saya terlibat dalam lagu ini tetapi saya tidak boleh menyanyi, jadi memadai saya melontarkan puisi sahaja,” ujar pengacara MeleTOP itu lagi.

Lagu dan video muzik Hingga Akhir Waktu akan dilancarkan di saluran YouTube Uyaina pada pukul 9 malam ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI