PUTRAJAYA – Kerajaan sedia membantu balu anggota bomba yang terkorban ketika operasi memadam kebakaran di Segamat, Johor pada 11 Disember lalu, Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, untuk membina rumah di kampung halamannya.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebelum ini pernah membuat tawaran itu kepada Nurul Jannah Abd. Hamid Khan, 29, dan masih belum menerima maklum balas darinya.
Menurutnya, sehingga kini Nurul Jannah masih belum mengemukan permohonan rasmi kepada KPKT dan mereka menyarankannya memohon insentif disediakan kerajaan itu bagi meringankan bebannya.
“Kerajaan menyediakan beberapa skim buat anggota bomba memiliki rumah di bawah projek perumahan kerajaan dan ia adalah antara usaha untuk menjaga kebajikan anggota bomba yang masih belum memiliki rumah sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Dan Keselamatan Keluarga Malaysia di sini hari ini.
Nurul Jannah sebelum ini pernah berkata bahawa dia dan keluarga akan memenuhi hasrat arwah suaminya itu untuk membina rumah di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah, Melaka.
Dia yang ditemui ketika hadir menerima insentif dari JBPM pada Hari Perbarisan Tahunan 2022 JBPM di sini semalam berkata rumah impian arwah itu akan dibina melalui sebahagian wang insentif yang diterima.
Sebahagian lagi insentif itu pula, katanya, akan digunakan untuk pendidikan anak tunggal perempuan mereka Aisy Alisha yang berusia tiga tahun. – K! ONLINE