fbpx

Kebenaran guru berpolitik: Ceupacs minta kerajaan bentang pekeliling jelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) berpandangan kerajaan perlu membentangkan pekeliling yang jelas sebelum membenarkan guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk terlibat aktif dalam aktiviti politik.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pekeliling atau garis panduan yang jelas dan tepat diperlukan untuk mengelak salah tafsir masyarakat umum terhadap penjawat awam.

“Hal ini penting bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan seperti salah guna kuasa selain mengelakkan orang awam membuat tuduhan tidak berasas.

“Ceupacs berharap kebenaran berpolitik ini tidak menjadikan guru-guru, kakitangan kemas atau penjawat awam lain diarahkan bekerja untuk politik.

“Ceupacs bimbang jika kebenaran ini disalah guna oleh pihak-pihak tertentu hingga menjadikan penjawat awam sebagai alat politik, diugut atau sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, status kontrak kakitangan KEMAS menyebabkan mereka mudah untuk diugut sekiranya berlaku peralihan kuasa kelak atau enggan melaksanakan aktiviti politik seperti yang diarahkan pihak tertentu.

“Cuepacs berharap kerajaan memberikan taraf jawatan tetap kepada kakitangan KEMAS selari dengan kebenaran kerajaan untuk membenarkan mereka ini berpolitik.

“Penjawat awam lain yang dibenarkan berpolitik seperti guru adalah kakitangan tetap dan mereka tidak cenderung untuk dianiaya atau diugut berdasarkan status tetap tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ceupacs turut mengingatkan penjawat awam supaya berpada-pada melibatkan diri dalam aktiviti politik kerana keutamaan adalah penyampaian perkhidmatan terbaik untuk rakyat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI