fbpx

Karen Kong terpaksa jual durian di Hong Kong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiada persembahan dan punca pendapatan terjejas teruk mendorong Karen menjual durian di Hong Kong bagi menampung kehidupan. - Foto HARYATI KARIM

KUALA LUMPUR – Tiada pendapatan kerana pandemik Covid-19, penyanyi asal Malaysia yang kini bertapak di Hong Kong, Karen Kong terpaksa menjual durian demi meneruskan kelangsungan hidup di sana.

Karen, 38, yang pernah muncul dengan lagu bahasa Melayu berjudul Cinta Hello Kitty telah menetap di Hong Kong selama 11 tahun.

“Selama 11 tahun, saya bertukar-tukar kerja dan pernah menjadi pekerja pejabat untuk menyara kehidupan. Ketika pandemik melanda, persembahan nyanyian semua dihentikan dan saya tiada pendapatan.

“Justeru, saya memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual durian Malaysia di sana. Saya mengambil durian dari Bentong, Pahang dan juga Pulau Pinang,” kata Karen.

Menurut Karen yang telah berkahwin selama empat tahun dengan seorang jurugaya rambut di Hong Kong, idea untuk menjual durian tersebut timbul semasa dia sedang menyunting videonya sedang memakan durian untuk saluran YouTube miliknya.

“Disebabkan tiada persembahan dan pendapatan, saya cuba membuat saluran You Tube sendiri dan ketika sedang menyunting video makan durian, saya terfikir jika saya membawa durian dari Malaysia ke Hong Kong pasti boleh menambah pendapatan.

“Tanpa berfikir panjang saya terus membuka tempahan dan tidak sangka sambutannya amat menggalakkan. Rupanya orang Hong Kong amat menggemari durian dari Malaysia. Bagi mereka durian Malaysia paling enak berbanding durian negara lain,” kongsi Karen.

Meskipun ekonominya yang sudah mula stabil, Karen tetap meneruskan perniagaan duriannya di Hong Kong kerana sudah memiliki pelanggan tetap.

“Sebab perniagaan durian mengikut musim saya harus buat kerja-kerja lain juga. Jika musim durian saya akan menjadi peniaga durian, tetapi jika bukan musimnya saya akan meneruskan karier sebagai penyanyi dan pelakon,” ujar Karen.

Selain perniagaan durian, Karen juga baru sahaja membuka kedai kopi dan salun bersama suaminya di Hong Kong.
Dalam perkembangan lain, Karen bakal muncul dalam filem pengarah kontroversi Namewee berjudul Nasi Lemak 2.0 yang akan menemui penonton di pawagam pada 27 Januari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI